Rabu, 5 November 2008

Sumber: Harian Metro, 18hb Julai 2008

Etiqa Takaful Berhad dipilih sebagai pemenang kategori pemasaran takaful terbaik dalam Anugerah Takaful Antarabangsa 2008 sempena Sidang Takaful Antarabangsa di London, baru-baru ini.

Anugerah yang mempertanding 11 kategori itu disampaikan Ketua Forum Muslim Konservatif, Mohamed Iltaf Sheikh.

Etiqa Takaful diiktiraf kerana pendekatan pemasarannya yang inovatif serta paling menyerlah dalam kategori pemasaran terbaik.

Calon lain dalam kategori sama ialah Salama (Islamic Arab Insurance Co) dari Emiriah Arab Bersatu dan SABB Takaful (Arab Saudi).

Timbalan Presiden Eksekutif dan Ketua Perancangan Korporat Etiqa, Shahril Azuar Jimin, berkata sejak pelancaran jenama Etiqa pada November 2007, pihak pengurusan berusaha bersungguh-sungguh memastikan nilai berkenaan diterapkan setiap ahli keluarga Etiqa.

“Nilai ini diterapkan dalam tingkah laku, budaya kerja dan cara melayan pelanggan dengan menyenangkan proses serta kuasa kepada ahli keluarga Etiqa memudahkan mereka memberi pengalaman positif kepada pelanggan.

“Anugerah ini membuktikan usaha kami mengutamakan pengalaman positif pelanggan apabila berurusan dengan kami diakui dan dalam melangkah maju, kami akan terus mengambil iktibar daripada pelanggan kami kerana mereka teras kewujudan kami,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Antara kategori lain yang dipertandingkan ialah Syarikat Takaful Terbaik, Syarikat Re-Takaful Terbaik, Syarikat Takaful Reinsurans Terbaik, Produk Takaful Terbaik, Syarikat Teknologi Takaful Terbaik, Pengurus Aset Takaful Terbaik, Syarikat Pengkadaran Takaful Terbaik.

Etiqa Takaful ialah pengedar produk Takaful melalui pelbagai rangkaian dan memiliki tenaga agensi kukuh dengan lebih 12,000 wakil dengan 48 buah cawangan di seluruh negara.

ARKIB : 28/04/2008

Etiqa bantu institut pengajian tinggi


BUKIT MERTAJAM 27 April - Syarikat insurans, Etiqa Takaful Berhad (Etiqa) berjaya mengutip zakat perniagaan sebanyak RM1.9 juta sejak Februari 2006 yang digunakan untuk membantu beberapa institusi pengajian dan kebajikan di seluruh negara.

Pengarah Program Tanggungjawab Korporat Etiqa, Dr. Zulkifli Zakaria berkata, penggunaan wang zakat tersebut merupakan sebahagian daripada Program Tanggungjawab Zakat Korporat (CZR) Etiqa.

"CZR merupakan antara cara kami membantu mereka yang memerlukan sumbangan seperti yang dituntut agama sekali gus merapatkan organisasi ini dengan orang ramai," katanya yang juga Ketua Divisyen Syariah Etiqa ketika berucap merasmikan bangunan tambahan dua tingkat Madrasah Al-Aminiah, Permatang Pauh di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Takaful Berhad, Tarmidzi Ahmad Nordin dan Pengetua Madrasah Al-Aminiah, Azamuddin Alang Hamzah.

Bangunan tambahan dua tingkat bernilai RM250,000 itu merangkumi enam buah bilik darjah termasuk dua buah bilik yang boleh ditukar menjadi dewan bila diperlukan.

Selain merasmikan bangunan tersebut, Etiqa turut menyampaikan insurans takaful berkelompok kepada 503 orang pelajar di madrasah itu yang bernilai RM10,000 dan sumbangan kakitangan Maybank Berhad berjumlah RM1,008.

Etiqa turut menyampaikan sumbangan alat tulis kepada kesemua pelajar madrasah itu.

Menurut Dr. Zulkifli, peruntukan pembinaan bangunan tambahan tersebut merupakan yang terbesar pernah disalurkan berbanding projek-projek CZR yang lain.

Katanya, antara projek CZR termasuk pembinaan surau bagi Yayasan Pengajian Islam Merbok, Kedah dan Yayasan Kebajikan Suria, di Tuaran Sabah, membina asrama bagi pelajar lelaki di Tahfiz Madrasah Ar-Rahmaniah, Neting, Kelantan serta mendirikan bangunan perpustakaan dan pentadbiran bagi Madrasah Pondok Darussalam, Kuala Ibai, Terengganu.

Ujar Dr. Zulkifli, projek di Madrasah Al-Aminiah merupakan yang ke-10 sejak CZR Etiqa dilancarkan pada Mac 2006.

Sementara itu, pengetua madrasah, Azimuddin mengucapkan terima kasih kepada Etiqa kerana sudi membina bangunan tambahan tersebut yang amat diperlukan demi keselesaan pembelajaran pelajar.

Beliau juga berharap lebih banyak syarikat korporat sudi tampil menghulurkan sumbangan bukan sahaja kepada Madrasah Al-Aminiah tetapi madrasah lain agar imej sekolah pondok dapat ditingkatkan dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

RUJUKAN UTUSAN MALAYSIA

ARKIB : 21/06/2008

Etiqa yakin Takaful Medic-Save Rider habis dilanggan



KUALA LUMPUR 20 Jun - Etiqa Takaful Bhd. (Etiqa) yakin kesemua 20,000 polisi takaful terbarunya, Takaful Medic-Save Rider, habis dilanggan dalam tempoh setahun.

Ketua Agensi Etiqa, Abdul Latiff Abu Bakar berkata, setakat ini, sebanyak 5,000 polisi Takaful Medic-Save Rider telah dilanggan sejak ia diperkenalkan pada pra pelancarannya Februari lalu berbanding unjuran awal sebanyak 2,000 polisi

''Ini menunjukkan takaful terbaru keluaran Etiqa disambut baik oleh pelanggan kami dengan sasaran asas telah meningkat sebanyak 60 peratus," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Takaful Medic-Save Rider di sini, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Takaful Medic-Save Rider merupakan pelan perubatan takaful keluarga yang memberi perlindungan untuk perbelanjaan pengkebumian.

Menurut Abdul Latif, Medic-Save Rider juga menyediakan perlindungan dengan membiayai sehingga 90 peratus bil perubatan dan pelanggan boleh menggunakannya di 190 hospital diseluruh negara.

Sasaran produk ini meliputi semua golongan masyarakat termasuk daripada golongan profesional sehingga yang berpendapatan rendah, katanya.

Setakat ini, Etiqa telah memperkenalkan empat produk takaful iaitu Etiqa Takaful Mesra, Etiqa Takaful Prima, Etiqa Takaful Warisan dan Etiqa Takaful Ehsan.

Etiqa merupakan pengendali takaful terbesar di Malaysia dengan aset sebanyak RM3.8 bilion.

RUJUKAN UTUSAN MALAYSIA