Sabtu, 3 Januari 2009

Lebih banyak lot komersial, bangunan dibina bantu usahawan Islam

MELAKA: Mulai tahun depan, kerajaan negeri akan menggerakkan institusi zakat khususnya Baitulmal sebagai agensi penggerak ekonomi umat Islam di Melaka dengan pembabitan lebih aktif dalam sektor pelaburan hartanah termasuk menerusi pembelian aset perniagaan dan pembangunan lot komersial di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata Baitulmal negeri akan diminta bergerak lebih aktif membantu peniaga Islam yang layak mengembangkan perniagaan masing-masing supaya hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan Melayu Islam tercapai.

"Saya fikir Baitulmal boleh memainkan peranan sebagai agensi penggerak ekonomi umat Islam dengan membina lebih banyak rumah kedai dan lot komersial untuk disewakan kepada peniaga Islam yang layak agar mereka sama-sama diberi peluang merebut agihan ekonomi.

"Banyak peluang perniagaan boleh diceburi terutama sektor pelancongan dan saya berharap pada 2009, Baitulmal dapat merancang pembinaan kompleks perniagaan supaya boleh menempatkan peniaga Islam,'' katanya selepas majlis penyerahan zakat korporat 2008 di kediaman rasminya, di Seri Bendahara, semalam.

Pada majlis itu, sebanyak RM243,236.58 wang zakat diserahkan oleh beberapa badan korporat yang beroperasi di Melaka antaranya SME Bank, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad, Puspakom Sdn Bhd, Etiqa Takaful Berhad, Kumpulan Melaka Berhad dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

SME Bank yang diwakili Pengurus Cawangan Melaka, Zulkarnain Luddin menyerahkan sejumlah RM93,304.00, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad sebanyak RM55,035.00, Puspakom Sdn Bhd sebanyak RM50,000.00 yang diserahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Selamat Wahid.

Etiqa Takaful Berhad pula membayar zakat sejumlah RM30,315.39, Kumpulan Melaka Berhad pula menyerahkan zakat sebanyak RM10,000.00 manakala Percetakan Nasional Malaysia Berhad sebanyak RM4,582.19.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Ghazale Muhammad; Timbalan Pengerusi Pusat Zakat Melaka, Datuk Nawi Ahmad dan Mufti Negeri, Datuk Wira Rashid Redza Md Salleh.

Mohd Ali berkata, bagi kutipan zakat harta tahun ini, ia mencatat peningkatan sebanyak 23.45 peratus bersamaan RM4.7 kepada RM24.7 juta berbanding RM20 juta sebelumnya.

Jumlah kutipan zakar perniagaan juga meningkat sebanyak 24.98 peratus atau RM1.3 juta kepada RM6.5 juta berbanding RM5.2 juta tahun lalu.

"Sasaran Pusat Zakat Melaka ialah mengutip RM25 juta dan saya yakin menjelang 31 Disember ini, lebih banyak badan korporat dan syarikat serta individu menunaikan kewajipan zakat berkenaan dan sasaran itu dapat dicapai," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ali menggesa pengusaha kraf tangan di Melaka supaya terus menghasilkan produk bermutu berikutan langkah kerajaan negeri mengarahkan Syarikat Pemasaran Melaka (SPM) membeli produk itu untuk dijual di perkampungan tradisi iaitu di Kampung Morten, Kampung Portugis dan Kampung Chetti di Gajah Berang. Semua lokasi berkenaan menjadi tumpuan ribuan pelancong dalam dan luar negeri setiap bulan.

Selain itu, SPM juga diminta membeli dan memasarkan produk usahawan kecil di beberapa pusat tumpuan pelancong termasuk di Homestay di seluruh negeri ini bagi membantu usahawan kecil dan sederhana terus bergerak berdepan musim kegawatan ekonomi yang dijangka melanda negara ini tahun depan.

Rujukan Berita Harian