Isnin, 23 Mac 2009

ARKIB : 28/02/2009 (utusan malaysia)

UniMAP sumbang bantuan kepada 81 pelajar


Kamarudin Hussin (tengah) menyerahkan cek kepada pelajar pada Majlis Penyerahan Cek Tabung Amanah Zakat dan Tabung Amanah Khas UniMAP di Pejabat Canselori, Kangar, baru-baru ini.


KANGAR 27 Feb. - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyampaikan sumbangan Tabung Zakat Amanah dan Tabung Amanah Khas UniMAP bernilai RM40,400 kepada 81 pelajarnya yang layak dalam usaha membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan untuk terus belajar di universiti tersebut.

Sumbangan itu melibatkan RM29,000 dari Tabung Amanah Zakat yang diberikan kepada 43 pelajar, manakala Tabung Amanah Khas sebanyak RM11,400 diberikan kepada 38 pelajar.

Naib Canselornya, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, Tabung Amanah Khas memperoleh dananya melalui pemotongan gaji staf UniMAP yang prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian di universiti tersebut.

Katanya, pelancaran tabung itu dilakukan pada Jun tahun lalu iaitu ketika Pendaftaran Pelajar baru sesi 2008/2009.

''Tabung Amanah Zakat pula diterima daripada Etiqa Takaful dan Bank Islam Malaysia Berhad.

''Penubuhan tabung ini bagi memastikan pelajar UniMAP dapat belajar dengan baik dan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Tabung Amanah Zakat dan Tabung Amanah Khas UniMAP di Pejabat Canselori di sini.

Katanya, dalam pemilihan penerima sumbangan itu beberapa kriteria diambil kira iaitu pelajar sepenuh masa uniMAP, terdiri daripada pelajar peringkat diploma dan ijazah pertama, penerima adalah warganegara Malaysia dan pendapatan penjaga yang tidak melebihi RM1,500 sebulan.

ARKIB : 28/02/2009 (utusan malaysia)

Etiqa sasar premium RM1.4b

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Etiqa Takaful Bhd. (Etiqa) menyasarkan premium kasar sebanyak RM1.4 bilion pada tahun ini berbanding RM1.044 bilion pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2008.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Tarmizi Ahmad Nordin berkata, peningkatan sasaran premium itu berikutan pertumbuhan perniagaan insurans yang berterusan walaupun berlaku kelembapan ekonomi.

Beliau memberitahu, bilangan pemegang polisi insurans hayat didapati terus meningkat berbanding insurans jenis lain.

"Kami yakin untuk berada di landasan yang betul bagi mencapai jumlah premium kasar melebihi RM1 bilion setiap tahun.

"Etiqa kini mempunyai pemegang polisi hampir sejuta orang dan merupakan syarikat takaful terbesar di dunia.

"Insurans hayat menyumbang kira-kira 70 peratus kepada pertumbuhan perniagaan syarikat manakala lain-lain sebanyak 30 peratus,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM70,000 ke dalam Dana Amanah Fisabilillah Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) di sini hari ini.

Sumbangan itu diterima oleh Ketua Pegawai Akademik dan Dekan INCEIF, Datuk Profesor Dr. Syed Othman Alhabshi.

INCEIF ditubuhkan sejak 2007 dan merupakan institusi yang menawarkan Program Kewangan Islamik Profesional Berkanun (CIFP) milik Bank Negara Malaysia.

Institusi tersebut menawarkan kursus di peringkat pengajian doktor falsafah dan sarjana yang dijalankan untuk golongan pekerja.

Kini, ia mempunyai 101 pelajar dari 21 buah negara dan lebih 45 peratus merupakan pelajar warga asing.

Ketika ditanya mengenai perancangan produk baru yang ditawarkan Etiqa, Mohd. Tarmizi menambah, pihaknya bercadang untuk melancarkan produk baru selepas Jun ini.

Katanya, sekarang, Etiqa dalam proses mengintegrasikan sistem teknologi maklumatnya bagi memberi kemudahan kepada para pelanggan untuk berurusan dengan syarikat tersebut.

Ujarnya, sistem integrasi itu turut memudahkan tugas kakitangan Etiqa.

Sementara itu, Syed Othman berkata, Dana Amanah Fisabilillah yang menerima sumbangan zakat dari pertubuhan dan individu akan membiayai pelajar INCEIF yang layak untuk melanjutkan pengajian.

Jelasnya, pengagihan wang dari dana itu hanya boleh dibuat berdasarkan arahan pengurusan amanah meliputi lima ahli termasuk dua ahli dari INCEIF dan tiga lagi merupakan pihak luar.

ARKIB : 23/02/2009 (utusan malaysia)

Kutipan zakat PUZ Pulau Pinang RM38j

TASEK GELUGOR 22 Feb. - Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZ) menerima RM38 juta kutipan daripada pembayar zakat sepanjang tahun lepas berbanding RM34 juta tahun sebelumnya.

Menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Pengerusi PUZ, Shabudin Yahaya, walaupun dalam keadaan kelembapan ekonomi namun jumlah kutipan zakat tahun lepas meningkat RM4 juta.

Justeru, katanya, PUZ gembira kerana kesedaran pembayar zakat tidak terjejas atau berkurangan walaupun kegawatan ekonomi menjejaskan sektor perniagaan.

"Dalam keadaan negara turut menerima tempias kegawatan atau krisis ekonomi dunia, kesedaran pembayar zakat tidak terjejas bahkan meningkat melebihi daripada sasaran peningkatan RM2 juta.

"Bagaimanapun, mereka yang menerima zakat PUZ negeri harus bersyukur kerana Allah membuka hati umat Islam untuk terus menyumbang kepada PUZ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Dana Zakat Program Didik Cemerlang Akademik 2009 di Dewan Besar Sungai Dua di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Shabudin menerima zakat perniagaan berjumlah RM70,462.97 daripada Pengurus Wilayah Utara Etiqa Takaful Berhad, Syed Mohd. Redha Syed Abd. Rahman.

Shabudin berkata, dengan adanya sistem pengumpulan zakat, amanah yang diberi kepada PUZ untuk mengagih-agihkan wang zakat itu dilihat lebih teratur dan berfokus.

Shabudin turut menasihatkan kakitangan pengurusan PUZ Pulau Pinang supaya mempertingkatkan mutu kerja mereka dalam urusan seharian.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk merombak kakitangan pengurusan PUZ sekiranya mereka didapati tidak menunjukkan peningkatan dalam perkhidmatan.

Tambahnya, ingatan itu tidak harus diterjemahkan sebagai satu ugutan kerana beliau menekankan kecekapan dalam perkhidmatan.