Kutipan zakat PUZ Pulau Pinang RM38j
TASEK GELUGOR 22 Feb. - Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZ) menerima RM38 juta kutipan daripada pembayar zakat sepanjang tahun lepas berbanding RM34 juta tahun sebelumnya.
Menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Pengerusi PUZ, Shabudin Yahaya, walaupun dalam keadaan kelembapan ekonomi namun jumlah kutipan zakat tahun lepas meningkat RM4 juta.
Justeru, katanya, PUZ gembira kerana kesedaran pembayar zakat tidak terjejas atau berkurangan walaupun kegawatan ekonomi menjejaskan sektor perniagaan.
"Dalam keadaan negara turut menerima tempias kegawatan atau krisis ekonomi dunia, kesedaran pembayar zakat tidak terjejas bahkan meningkat melebihi daripada sasaran peningkatan RM2 juta.
"Bagaimanapun, mereka yang menerima zakat PUZ negeri harus bersyukur kerana Allah membuka hati umat Islam untuk terus menyumbang kepada PUZ," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Dana Zakat Program Didik Cemerlang Akademik 2009 di Dewan Besar Sungai Dua di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Shabudin menerima zakat perniagaan berjumlah RM70,462.97 daripada Pengurus Wilayah Utara Etiqa Takaful Berhad, Syed Mohd. Redha Syed Abd. Rahman.
Shabudin berkata, dengan adanya sistem pengumpulan zakat, amanah yang diberi kepada PUZ untuk mengagih-agihkan wang zakat itu dilihat lebih teratur dan berfokus.
Shabudin turut menasihatkan kakitangan pengurusan PUZ Pulau Pinang supaya mempertingkatkan mutu kerja mereka dalam urusan seharian.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk merombak kakitangan pengurusan PUZ sekiranya mereka didapati tidak menunjukkan peningkatan dalam perkhidmatan.
Tambahnya, ingatan itu tidak harus diterjemahkan sebagai satu ugutan kerana beliau menekankan kecekapan dalam perkhidmatan.